SELAWAT KE ATAS NABI DAN KELUARGANYA AHLUL BAIT
Bacaan ayat 10-13, surah Nuh:
Ayat ini mengisahkan bagaimana kaum Nabi Nuh diminta untuk bertaubat. Kadang-kadang kita mungkin nampak senang pada zahirnya – ada pekerjaan yang bagus, keluarga yang ramai namun masih rasa tiada ketenangan, atau kerasa ada kekosongan dalam kehidupan. Kekosongan yang dirasai itu adalah kefakiran yang dirasai apabila seseorang tidak bertaubat kepada Allah SWT. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan ibu bapa, pemimpin-pemimpin rakyat, ketua organisasi untuk mengajar dan mengingatkan agar anak-buahnya untuk bertaubat. Dalam ayat ini juga Allah berikan tips untuk mendapatkan harta yang banyak, umur yang diberkati, anak yang soleh atau untuk mendapatkan zuriat adalah dengan membanyakkan bertaubat.
Ada satu kisah taubat yang hebat yang dicatatkan dalam kitab Al-Isabah Fi Tamyiz As-Sahabat oleh Imam Ibn Hajar. Namun riwayat kisah ini disebut sebagai antara lemah dan sangat lemah. Sahabat ini bernama Sa’labah bin Abdul Rahman Al-Ansori, dan dia diamanahkan membuat satu kerja oleh Nabi SAW. Ketika dalam tugasan itu, dia ternampak aurat seorang wanita yang sedang mandi. Dia melihatnya sehingga 3 kali kerana kuatnya tarikan maksiat itu. Dia kemudian tersedar, beristighfar dan berasa sangat malu kepada Allah. Dia menjadi sangat risau kerana dia adalah orang yang rapat kepada Nabi SAW, dan dia malu jika ada wahyu diturunkan menceritakan kesalahannya kepada Nabi SAW. Lalu, dia pun melarikan diri bersembunyi ke pergunungan sehingga Nabi SAW pun tercari-cari. Setelah hampir 40 hari, Nabi SAW mengarahkan sahabat, ‘Umar dan Salman, pergi mencarinya, dan diriwayatkan bahawa Jibril datang kepada Nabi dan berkata, “Ada seorang daripada kamu yang bersembunyi di pergunungan dan meminta keampunan daripada Allah dan takut kepada api neraka”. Dikatakan bahawa Sa’labah berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya dan meminta Allah mematikannya dalam keadaan bertaubat, dan agar dia dilindungi daripada tidak berpakaian di akhirat nanti kerana dosanya melihat wanita tidak berpakaian.
‘Umar dan Salman menemui Sa’labah, tetapi dia keberatan bertemu Rasulullah SAW, dan berharap agar kembali ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat. Permintaanya itu dikabulkan, dan mereka sampai ketika Nabi SAW sedang mengerjakan solat sunat Dhuha. Maka mereka pun menunggu sehingga Nabi SAW selesai solat. Setelah selesai, Nabi SAW pun melihat Sa’labah dan bertanya apa yang berlaku. Dalam keadaan malu, Sa’labah menceritakan apa yang berlaku. Kemudian, Nabi SAW berkata, “Kamu nak tak aku ajarkan satu doa yang dapat memadam dosa-dosa dan kesilapan yang lalu?” Jawab Sa’labah, “Sudah pasti, Ya Rasulullah”. Lalu Nabi SAW mengajarkan doa "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar", seperti yang dipetik daripada ayat 201, surah Al-Baqarah:
Setelah mendengar doa itu, Sa’labah berkata, “Tetapi, dosaku besar sungguh”. Nabi SAW pun berkata, “Ayat Allah lebih besar”. Sa’labah pun balik dan mengamalkan doa itu, tetapi hatinya remuk dan masih tidak berasa tenang dengan dosa yang telah dilakukannya itu. Dia menangis siang dan malam sehinggalah jatuh sakit. Setelah 8 hari sakit, sahabat memberitahu kepada Rasulullah SAW dan mereka pun pergi melawat Sa’labah. Ketika melawatnya, Rasulullah SAW meletakkan kepada Sa’labah ke atas ribaannya, tetapi Sa’labah mengangkat dan mengalihkan kepalanya. Nabi SAW pun bertanya, “Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku?”. Jawab Sa’labah, “Kerana aku terlampau berdosa”.
Kemudian Nabi SAW bertanya lagi, “Apakah yang kamu inginkan?”. Jawabnya, “Aku hanya inginkan keampunan daripada Allah SWT”. Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi SAW bahawa Allah berkata, “Sekiranya dia ini datang kepada-Ku dengan dosa yang sebesar bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga keampunan-Ku”. Perkara ini pun diberitahu kepada Sa’labah dan ketika itu juga dia pun nazak dan meninggal dunia. Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat melihat Nabi SAW berjalan bertinjit-tinjit (berjalan dengan hujung jari kaki dengan berhati-hati seolah-olah tidak ingin melanggar sesuatu). Lalu ditanya oleh sahabat mengapa Nabi SAW berjalan sebegitu rupa. Baginda pun menjawab, “Kerana terlalu ramainya malaikat yang bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak kepak-kepak dan sayap mereka”.
Hari ini, berapa antara kita yang pernah melihat pornografi, namun tidak pernah rasa malu atau menangis di hadapan Allah. Jadi, mari kita sama-sama muhasabah diri kita.
Kita tidak boleh meminta orang bertaubat bagi pihak kita, contohnya meminta bantuan ustaz. Ada satu kisah seorang yang datang selepas zaman para Tabiin. Khalifah Hisyam datang ke masjid dan bertanya kepada seorang yang bernama Salim bin Abdullah, “Ya Salim, adakah apa-apa yang kamu ada hajat kepadaku sebagai khalifah?” Salim berkata, “Aku malu untuk meminta daripada selain Allah sedangkan aku berada di dalam rumah Allah”. Khalifah itu pun berkata, “Kalau begitu, nanti setelah keluar daripada masjid kamu datanglah meminta kepadaku”.
Setelah berada di masjid seketika, Salim pun pergi berjumpa khalifah di luar masjid. Khalifah pun berkata, “Sekarang kamu telah berada diluar masjid, maka mintalah apa yang kamu inginkan”. Salim pun bertanya, “Ya Amirul Mukminin, aku nak minta tentang hal dunia atau akhirat kepadamu?”
Jawab khalifah, “Tentulah hal dunia, kerana aku tidak beri apa-apa di akhirat”. Kemudian, Salim pun berkata, “Dalam keadaan aku tidak meminta dunia dari Allah pemilik dunia, bagaimana mungkin untuk aku meminta dunia daripada orang yang sebenarnya bukan pemilik dunia”.
Salim ini sebenarnya memang tidak ingin meminta apa-apa, dan dia hanya ingin memberi pengajaran kepada khalifah itu sahaja. Begitulah dengan kita, jika ingin bertaubat, minta pada Allah, bukan pada manusia.
Ada satu lagi kisah seorang sahabat, Lubabah, yang tidak sengaja terbocorkan rahsia Nabi SAW kepada orang kafir. Dia kemudian tersedar dan segera balik bertaubat dan mengikat dirinya ke tiang masjid. Cerita ini sampai kepada Nabi SAW dan Nabi bertanya apa yang berlaku kepadanya. Setelah diceritakan, Nabi pun berkata yang dia sepatutnya datang meminta Nabi memohon maaf baginya. Nabi SAW pun membiarkan dia mengikat dirinya dan setelah 6 hari barulah sampai berita gembira bahawa Allah telah mengampunkan dirinya. Setelah sampai berita itu, sahabat pun datang memberitahunya dan ingin membuka ikatannya. Dia melarang dan meminta Nabi SAW yang membukankan ikatan itu. Nabi SAW pun datang membukanya dan mereka pun sama-sama bersyukur dengan pengampunan yang Allah berikan itu.
Jika ada orang kafir yang tertarik dengan Islam, ketahuilah bahawa segala dosa yang kamu pernah lakukan akan diampunkan sebaik kamu memeluk Islam.
Sebagai kesimpulan, bersegeralah kita semua dalam bertaubat sebagai mengikut teladan yang ditunjukkan pada sahabat Nabi SAW. Dalam surah An-Nisa’, ayat 17, Allah berfirman dan menyatakan kepentingan untuk segera bertaubat:
SUMBER : DR. ZAHARUDDIN
Setiausaha Kehormat
Inspirasi Wawasan