DARE TO DREAM

Wednesday, November 19, 2014

WAJIB MENCINTAI AHLUL BAIT

Related Posts with Thumbnails
Selawat ke atas nabi dan keluarganya Ahlul Bait

KEWAJIPAN MEMULIAKAN AHLI BAIT


Rasulullah SAW bersabda : " Pada Hari Kiamat nanti manusia tidak akan melangkahkan kakinya hingga ditanya tentang empat hal;......... tentang kecintaanya kepada Ahlul Bait " ( Amali Syeikh Mufid, Hal 353 )

Rasulullah SAW bersabda " Cintailah Allah kerana nikmat-nikmat yang dianugerahkan kepada kalian. Cintailah aku karena cinta kalian kepada Allah dan cintailah Ahlul Baitku karena cinta kalian kepadaku " ( Sunan Turmuzi, Jilid 5, Hal 664, hadis 3789 )

ALLAHUMMA SOLLI ALA MUHAMMAD WA ALI MUHAMMAD


Sebelum Rasulullah SAW wafat, Baginda pernah berkhutbah, “Wahai orang Islam! Sesungguhnya aku adalah manusia biasa. Tidak lama lagi, aku akan dijemput oleh Rabb aku melalui pesuruh-Nya (Jibril a.s.). Maka, akan kutinggalkan untuk kalian dua perkara. Pertamanya ialah Kitab Allah SWT yang mengandungi petunjuk dan hidayah. Hendaklah kalian mengambil kitab ini dan berpegang teguhlah dengannya.” Sabda Baginda lagi, “Satu perkara lagi ialah Ahli Baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah SWT mengenai Ahli Baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah SWT mengenai Ahli Baitku.” (Riyadhus Solihin, Muntakab al-Kanz)
Sebagai seorang yang mengaku mencintai Rasulullah SAW dan menjadi pengikut Baginda, sepatutnya kita mengambil berat perkara ini. Kadangkala, disebabkan oleh kejahilan atau perbezaan manhaj, kita sewenang-wenangnya bersangka buruk terhadap Ahli Bait. Kita sering dimomokkan dengan fitnah bahawa orang yang mencintai Ahli Bait adalah Syiah. Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Perbezaan takrif Ahli Bait yang difahami antara manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah sangat ketara. Tidak patut dinilai secara ‘borong’.
Sayidina Abu Bakar r.a. berkata, “Muliakan Nabi Muhammad SAW dengan memuliakan Ahli Baitnya.” (Muntakab al-Kanz).
Memuliakan Ahli Bait Rasulullah SAW adalah satu kewajipan kerana ia menunjukkan sejauh mana kita memuliakan Nabi SAW. Adalah menjadi satu perkara yang tidak masuk akal jika seseorang itu mengaku mencintai Rasulullah SAW tetapi tidak ada perasaaan kasih kepada keluarga dan keturunannya. Lebih teruk lagi apabila mengaitkan Ahli Bait dengan fitnah Syiah dan menuduh mereka menyuburkan bidaah.
Bagaimana Para Sahabat Memuliakan Sayidina Abbas r.a?
Pada suatu hari, ketika Baginda duduk bersama-sama para Sahabatnya, Baginda diapit oleh Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. Kemudian, datanglah Sayidina Abbas r.a., bapa saudara Baginda yang dikasihi. Maka, Sayidina Abu Bakar r.a. mengosongkan tempatnya untuk memberi laluan kepada Sayidina Abbas r.a. Setelah itu, Sayidina Abbas r.a. pun duduk di antara Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar r.a.
Rasulullah SAW memuji tindakan Sayidina Abu Bakar r.a. dan berkata, “Sesungguhnya, orang yang mempunyai kelebihan sahaja yang mengetahui kelebihan yang terdapat pada orang lain.” Kemudian, Rasulullah SAW menoleh ke arah Sayidina Abbas r.a. dan mula bercakap-cakap dengannya dengan suara yang perlahan seolah-olah sedang sakit.
Setelah selesai berbual-bual, Sayidina Abbas r.a. pun beredar dari situ. Lalu, Sayidina Abu Bakar r.a. bertanya, “Ya Rasulullah, adakah tuan sedang sakit?”
“Tidak.”
“Tapi, saya melihat tuan merendahkan suara ketika berbicara dengan Abbas.”
“Sebenarnya, Jibril a.s. telah datang kepadaku dan berpesan supaya aku merendahkan suara apabila berbicara dengan Abbas sebagaimana engkau diperintahkan supaya merendahkan suara ketika berbicara denganku.” (Riwayat Ibnu Asakir)
Betapa muliakan darjat Sayidina Abbas r.a. sehingga Jibril sendiri menyuruh Baginda SAW untuk memuliakannya. Akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda dalam kisah di atas tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk memberi peringatan kepada kita supaya sentiasa memuliakan Ahli Bait. Pernah suatu ketika Sayidina Abbas r.a. mengadu kepada Baginda mengenai sikap sesetengah orang awam yang membencinya. Lalu, Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid dan bersabda kepada orang ramai, “Wahai orang Islam! Kalian tidak akan beriman dan kalian tidak akan menjadi orang yang beriman sehingga kalian mengasihi Abbas.” (Riwayat Tabarani)
Dalam kisah yang lain, seseorang telah menghina bapa Sayidina Abbas r.a. Berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda, “Janganlah kalian mencaci orang yang telah mati dalam kalangan kami kerana cacian itu akan menyakiti orang yang masih hidup.” Mendengar kemarahan Rasulullah SAW, lelaki itu pun meminta maaf dan bertaubat. (Riwayat Hakim)


Walaupun setelah menjadi khalifah, Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. masih tetap membina hubungan yang baik dengan Sayidina Abbas r.a. Mereka selalu menuntun kenderaan yang dinaiki oleh Sayidina Abbas r.a. sambil berjalan kaki sehinggalah Sayidina Abbas r.a. sampai di rumahnya. Begitu hormatnya mereka kepada Ahli Bait. (al-Kanz, Ibnu Asakir)
Sayidina Usman bin al-Affan r.a. juga pernah memukul seorang lelaki yang memandang rendah kepada Sayidina Abbas r.a. tetapi tindakannya itu dipertikaikan. Lalu, beliau menjawab, “Adakah patut aku meringankan hukuman terhadap orang yang merendah-rendahkan bapa saudara Rasulullah SAW sedangkan Baginda sendiri memuliakannya? Barangsiapa yang menyukai perangai lelaki ini (yang menghina Sayidina Abbas r.a.), sesungguhnya dia telah mengingkari Rasulullah SAW.” Setelah itu, barulah orang ramai bersetuju dengan tindakannya. (al-Kanz)
Bagaimanakah Para Sahabat Memuliakan Sayidina Ali r.a.?
Suatu ketika, Rasulullah SAW sedang duduk bersama-sama para Sahabat di dalam masjid. Di sebelah kanannya terdapat Sayidina Abu Bakar r.a. Kemudian, Sayidina Ali r.a. datang. Maka, Sayidina Abu Bakar r.a. lantas bangun dan mengosongkan tempat duduknya untuk Sayidina Ali r.a. Rasulullah SAW menyukai perbuatan itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, orang yang mempunyai kelebihan sahaja yang mengetahui kelebihan yang terdapat pada orang lain.” (al-Bidayah)
Kaum Ansar juga sangat memuliakan Sayidina Ali r.a. dengan panggilan ‘Ya Maulana’. Tatkala mereka memanggilnya dengan panggilan ‘Ya Maulana’, Sayidina Ali r.a. bertanya, “Bagaimanakah aku mungkin menjadi tuan kamu semua sedangkan kamu adalah orang Arab?”
Mereka menjawab, “Kami pernah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapa yang menganggap aku sebagai tuannya, maka Ali juga adalah tuannya’.” (Ahmad dan Tabarani)
Dalam kisah yang lain, suatu ketika Rasulullah SAW pernah menghantar satu sariyah (jemaah yang keluar tanpa Rasulullah SAW) dan melantik Sayidina Ali r.a. sebagai ketua jemaah. Setelah selesai misi jemaah itu, Baginda bertanya, “Apakah pendapat kalian mengenai ketua jemaah kalian itu?
Mereka kemudiannya melaporkan suatu perkara yang kurang baik mengenai Sayidina Ali r.a. sehingga wajah Baginda menjadi kemerah-merahan. Kemudian, Baginda bersabda, “Sesiapa yang menganggap aku sebagai tuan, maka Ali adalah tuannya.” Semenjak hari itu, para Sahabat berhati-hati dalam memberi apa-apa kritikan mengenai Sayidina Ali r.a. kerana perkara tersebut dapat menyebabkan Rasulullah SAW marah. (Riwayat al-Bazzar)
Rasulullah SAW juga berpesan kepada para Sahabatnya, “Sesiapa yang menyakiti hati Ali, maka dia telah menyakiti hatiku.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya’la)
Disebabkan itulah, Sayidina Umar r.a. turut memarahi orang yang mencaci Sayidina Ali r.a. di tepi makam Rasulullah SAW. Kata beliau, “Tahukah kamu, ini ialah kubur Nabi Muhammad dan adakah kamu mengenali siapakah Ali? Janganlah kamu berkata-kata mengenai Ali kecuali perkara-perkara yang baik kerana jika kamu menyakitinya, maka kamu telah menyakiti penghuni makam ini (Rasulullah SAW).” (Al-Muntakhab)
Saad bin Abi Waqas r.a. juga pernah memberitahu tiga kelebihan yang terdapat pada Sayidina Ali r.a. Beliau berkata, “Pertama, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika melantik Ali sebagai pengganti dalam peperangan. Ali berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Adakah tuan meninggalkan saya untuk menjaga hal ehwal wanita dan kanak-kanak?’ Jawab Baginda, ‘Adakah kamu redha jika kamu mendapat kedudukan di sisiku sebagaimana kedudukan Nabi Harun di sisi Nabi Musa, sedangkan tiada nabi setelahku?’.
“Kedua, aku juga mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam Perang Khaibar, ‘Aku akan memberikan panji ini kepada lelaki yang mencintai dan dicintai Allah SWT dan Rasul-Nya’. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda, ‘Panggillah Ali supaya datang menemuiku’. Maka, Ali pun datang walaupun ketika itu dia sedang sakit mata lalu Baginda meludahi kedua-dua matanya dan menyerahkan panji itu kepadanya. Maka, Allah SWT telah memberikan kemenangan kepada umat Islam.
“Ketiga, ketika turunnya ayat, ‘Maka, katakanlah (kepadanya): Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu … (Ali Imran 3 : 61)’, maka Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dan bersabda, ‘Mereka ini adalah Ahli Baitku’.” (Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmizi)
Saad bin Abi Waqas r.a. berkata lagi, “Sekiranya aku mempunyai salah satu perkara yang dimiliki oleh Ali (antara ketiga-tiga perkara di atas), itu lebih aku sukai daripada segala benda yang disinari matahari (maksudnya seisi dunia).” (Al-Bidayah)
Salah seorang isteri Nabi SAW iaitu Ummu Salamah r.a. juga pernah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mencaci Ali, sesungguhnya dia telah mencaci aku.” (Riwayat Ahmad)
Bagaimana Para Sahabat Memuliakan Sayidina Hasan r.a.?
Pernah suatu ketika, Sayidina Abu Bakar r.a. sedang duduk di atas mimbar. Kemudian, datanglah Sayidina Hasan r.a. lalu berkata, “Turunlah dari tempat duduk ayahku.”
Sayidina Abu Bakar r.a. menjawab, “Ya, kamu berkata benar. Memang ini tempat duduk ayahmu.” Maka, Sayidina Abu Bakar r.a. mendudukkan Sayidina Hasan r.a. di atas pangkuannya lalu menangis.
Melihat keadaan itu, Sayidina Ali r.a. menjelaskan perkara yang sebenar dengan berkata, “Demi Allah! Aku tidak menyuruh dia melakukannya.”
Balas Sayidina Abu Bakar r.a., “Demi Allah! Aku tidak menyalahkan kamu.” (Riwayat Abu Nuaim)
Jika kita memahami kisah ini, tentunya kita mengetahui betapa para Sahabat sangat berlapang dada dalam hal-hal yang remeh-temeh. Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Ali r.a. tidak pernah berebut jawatan khalifah seperti yang digembar-gemburkan oleh puak Syiah. Bahkan, Sayidina Ali r.a. sendiri membaiat Sayidina Abu Bakar r.a. Walaupun setelah menjadi khalifah, Sayidina Abu Bakar r.a. tidak berbangga-bangga atas jawatannya, bahkan sentiasa memuliakan Ahli Bait.
Dalam peristiwa yang lain, Sayidina Abu Bakar r.a. pernah berjalan bersama-sama Sayidina Ali r.a. Kemudian, mereka terserempak dengan Sayidina Hasan r.a. yang sedang bermain-main dengan kanak-kanak yang lain. Sayidina Abu Bakar r.a. lalu memangku Sayidina Hasan r.a. di atas pangkuannya sambil bersyair, “Demi ayahmu! Kamu menyerupai Nabi SAW, bukan menyerupai Ali.” Sayidina Ali r.a. tertawa mendengar perkataan itu. (al-Kanz)
Sayidina Abu Hurairah r.a. sangat menyayangi Sayidina Hasan r.a. dan Sayidina Husain r.a. Beliau pernah mencium perut Sayidina Hasan r.a. kerana perut itu pernah dicium oleh Rasulullah SAW. (Riwayat Ahmad) Bahkan, beliau memanggil Sayidina Hasan r.a. dengan gelaran ‘penghulu’ kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Sayidina Hasan r.a. dan Sayidina Husain r.a. ialah penghulu para pemuda di syurga. (Riwayat Tabarani)
Sudah tentu ada kisahnya, mengapa beliau sangat menyayangi mereka berdua. Kisahnya adalah seperti berikut:
Suatu hari, Rasulullah SAW berjalan-jalan dengan Sayidina Abu Hurairah r.a. dan para Sahabat yang lain. Tidak semena-mena, mereka terdengar suara tangisan daripada Sayidina Hasan r.a. dan Sayidina Husain r.a. yang ketika itu berada bersama-sama ibu mereka, Sayidatina Fatimah r.a. Rasulullah SAW mempercepatkan langkahnya ke arah cucunya yang tercinta dan berkata, “Mengapa mereka menangis?”
Jawab Sayidatina Fatimah r.a., “Mereka sedang kehausan.”


Pada masa itu, berlakunya krisis kekurangan air. Amat sukar menjumpai air pada masa itu. Rasulullah SAW dan para Sahabat yang lain berusaha mencari air tetapi tidak ditemui. Maka, Rasulullah SAW memeluk salah seorang daripada cucunya dan memasukkan jari Baginda ke dalam mulut cucunya itu. Kemudian, jari Baginda yang berkat itu dihisap sehingga cucu kesayangannya itu berhenti menangis. Baginda mengulangi perbuatan yang sama terhadap cucunya yang seorang lagi.
Disebabkan peristiwa ini, Abu Hurairah r.a. berkata, “Adakah patut aku tidak mengasihi kedua-dua anak ini sedangkan aku melihat Rasulullah SAW sangat mengasihinya?” (Riwayat Tabarani)
Bagaimanakah Para Sahabat Memuliakan Sayidina Husain r.a.?
Sayidina Husain r.a. sendiri pernah menceritakan, bagaimana layanan Sayidina Umar r.a. terhadapnya. Pada suatu hari, Sayidina Husain r.a. menaiki mimbar yang sedang diduduki oleh Sayidina Umar r.a. lalu berkata, “Turunlah kamu dari mimbar ayahku dan naiklah ke mimbar ayahmu.”
Jawab Sayidina Umar r.a., “Ayahku tidak mempunyai mimbar.”
Kemudian, Sayidina Umar r.a. mendudukkan Sayidina Husain r.a. bersama-samanya di atas mimbar itu. Setelah mereka turun, Sayidina Husain r.a. mengikut Sayidina Umar r.a. ke rumahnya. Di situ, Sayidina Umar r.a. bertanya, “Wahai anakku, siapakah yang mengajarmu berbuat begini?”
Jawab Sayidina Husain r.a., “Tiada siapa yang mengajarku.” Kemudian, Sayidina Umar r.a. mempelawa Sayidina Husain menziarahinya di rumah pada masa yang lain.
Pada suatu hari, Sayidina Husain r.a. datang. Ketika itu, Sayidina Umar r.a. sedang berbual-bual dengan Sayidina Muawiyah r.a. dan Ibnu Umar r.a. Melihat keadaan itu, beliau berpatah balik ke rumah. Setelah itu, Sayidina Umar r.a. datang menemuinya dan berkata, “Wahai anakku, aku tidak melihat kamu datang menemuiku.”
Jawab Sayidina Husain r.a., “Saya telah datang dan saya telah melihat tuan berbual-bual dengan Muawiyah. Saya juga melihat Ibnu Umar baru pulang dari rumahmu. Jadi, saya pun baliklah.”
Sayidina Umar r.a. pun berkata, “Kamu lebih berhak untuk masuk berbanding Ibnu Umar.” Sambung Sayidina Umar r.a. lagi, “Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan iman dan hikmah kepada kami, kemudian Allah SWT mengurniakannya kepadamu.”  (Al-Kanz, al-Isobah)
Sayidina Umar r.a. juga telah mengahwini Ummi Kalsum, anak Sayidina Ali r.a. Beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Setiap keturunan dan anak cucu akan terpisah pada hari kiamat kecuali keturunan dan anak cucuku’. Maka, aku ingin mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah SAW.”


CREDIT / SUMBER DARIPADA Khairy Tajudin Novelis

Nor Amran Abdullah
Setiausaha Kehormat
Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur ( PPM-001-14-13052013)

Presiden
Persatuan ALUMNI Al-Ehya El-Karim Tg. Bidara,
Masjid Tanah, Melaka

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails